Tafsiran

Untuk membantu anda memahami istilah-istilah penting dalam ekosistem MySTI.
Terma
Definisi
Harta Intelek
Merujuk kepada apa-apa reka cipta, karya, ciptaan, rekaan, maklumat sulit termasuk rahsia perdagangan yang layak untuk mendapat perlindungan melalui apa-apa undang-undang Harta Intelek semasa di Malaysia.
Pemohon
Bermaksud mana-mana Syarikat/ Perniagaan/ Pertubuhan/ Koperasi/ Persatuan yang berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkenaan mengikut peraturan semasa yang berkuatkuasa.
Pengkomersialan
Merujuk kepada aktiviti penjanaan pendapatan atau penjimatan secara langsung atau tidak langsung melalui idea, penyelidikan, reka cipta, kreativiti dan inovasi yang dihasilkan dalam bentuk produk, perkhidmatan, teknologi, proses dan/atau sistem organisasi yang dipasarkan melalui kaedah-kaedah pengkomersialan seperti penjualan, pelesenan, penyerahan hak, pengembangan (spin-off), pengilangan, pembungkusan, usaha sama, francais dan lain-lain.
Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
Merujuk kepada siasatan awal atau kerja-kerja kreatif dan sistematik yang dijalankan untuk memperoleh pengetahuan baharu berkaitan sains, teknologi, kemanusiaan, kebudayaan dan kemasyarakatan; serta untuk mengguna pakai pengetahuan yang sedia ada dalam aplikasi baharu bagi tujuan pengeluaran atau penambahbaikan bahan, alat, produk, hasil atau proses.
Perakuan Pemfailan
Bermaksud dokumen pendaftaran Harta Intelek yang telah difailkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) termasuk paten, pembaharuan utiliti, hak cipta, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan reka bentuk susun atur litar bersepadu.
Perakuan Pendaftaran
Bermaksud sijil perakuan hak Harta Intelek yang dikeluarkan oleh MyIPO, termasuk paten, pembaharuan utiliti, hak cipta, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan reka bentuk susun atur litar bersepadu.
Perjanjian Perkongsian
Bermaksud dokumen perjanjian yang membenarkan satu pihak menggunakan barangan atau perkhidmatan hasil R&D tempatan yang dimiliki pihak lain untuk kegunaan komersial atau bukan komersial.
Perjanjian Pelesenan
Bermaksud dokumen perjanjian yang membenarkan satu pihak menggunakan harta intelek pihak lain, termasuk paten, pembaharuan utiliti, hak cipta, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan reka bentuk susun atur litar bersepadu untuk kegunaan komersial atau bukan komersial.